PENGENALAN


Mahasiswa merupakan aset dan modal kepada Negara dalam melahirkan pemimpin pada masa akan datang. Dalam merintis perjalanan semasa yang kian mencabar, terutama ancaman-ancaman dunia siber dan politik, mahasiswa haruslah dipersiapkan dengan nilai tambah dan insaniah yang mantap untuk menjamin kemaslahatan mahasiswa itu sendiri. Sehubungan itu, mentaliti mahasiswa itu sendiri haruslah turut beredar mengikuti zaman dengan menerapkan nilai-nilai jati diri dan patriotisme terhadap agama, bangsa dan negara. Ini sejajar dengan semangat 1Malaysia yang diterapkan oleh kerajaan dan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak sendiri. Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan melalui program-program di dalam teras bidang keberhasilan Negara atau “National Key Result Area”, NKRA melibatkan mahasiwa secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan mahasiswa menjadi modal insan yang bernilai dan bertaraf antarabangsa. Sehubungan itu, mahasiswa itu sendiri haruslah merebut segala ruang dan peluang yang ada untuk menonjolkan diri kerana dalam dunia semakin berevolusi tanpa sempadan ini menjanjikan suasana yang sangat mencabar dari segala aspek. Nilai-nilai kepimpinan dan rasa tanggungjawab yang tinggi haruslah ada di dalam peribadi mahasiswa itu sendiri.

                    Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang atau lebih dikenali dengan MAMPAN yang ditubuhkan di bawah kelolaan penuh Yayasan Pahang dan ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1999. . MAMPAN diberi mandat untuk mengendalikan hal-hal berkaitan program memantapkan pelajar Institusi pengajian tinggi dan ia dibentuk adalah khusus untuk membantu kerajaan negeri Pahang dalam merancang, mengendali dan melaksana pelbagai program yang membentuk dan membina modal insan yang lahir dan berasal dari negeri Pahang. Dengan usia yang mencecah 12 tahun ini, MAMPAN juga dilihat lebih matang dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Dengan itu, melalui Yayasan Pahang, MAMPAN sesi 2010/2011 berhasrat melaksanakan Konvensyen Mahasiswa Pahang 2011. Konvensyen ini bertujuan untuk mempersiap sediakan kepimpinan mahasiswa-mahasiswi Pahang di universiti masing-masing terutama dari segi mentaliti kepimpinan MAMPAN demi bersama-sama mendukung aspirasi negeri Pahang seterusnya negara tercinta ini.

OBJEKTIF

Menambahkan pengetahuan dan pengalaman di kalangan peserta melalui pemerhatian, penyertaan dan pertukaran idea sepanjang program yang disampaikan oleh tokoh yang dijemput.

Memberi peluang kepada golongan Mahasiwa untuk mencedok pengalaman dan pandangan tokoh yang dijemput

Merealisasikan hasrat universiti dan Kerajaan Negeri untuk melahirkan mahasiswa yang mempunyai nilai tambah.

Menonjolkan Mahasiswa Pahang yang berketrampilan, berkepimpinan, berbudi mulia dan berkebolehan dalam kursus dan seminar yang disediakan.

Memberi pendedahan dan pengalaman berguna kepada para peserta yang mengikuti program ini melalui penganjuran dan pengendalian program-program yang akan melibatkan kegiatan yang dianjurkan oleh mahasiswa.